Peka 1/2001
 
BUDAYA PENGKITARAN SEMULA
Satu Pengalaman Di Luar negeri

Rencana ini ditulis untuk memberikan cadangan dalam membantu menyediakan beberapa program bagi mempergiatkan usaha-usaha ke arah pelaksanaan aktiviti kitarsemula yang merupakan agenda utama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dalam memperkenalkan konsep pengkitaran semula, saya mencadangkan supaya skop definisi bagi aktiviti tersebut diperjelaskan dalam kontek pengertiannya yang sebenar, ini kerana kebanyakan orang awam masih memahaminya dalam satu tafsiran yang sempit. Kebanyakan individu melihat kaedah pengkitaran semula hanya melibatkan barang-barang boleh diproses semula dengan menggunakan peralatan canggih bagi menghasilkan satu produk baru yang boleh digunakan untuk aktiviti lain.

Melalui pemahaman ini, mereka telah menterjemahkan tanggungjawab individu atau masyarakat itu hanya untuk menguruskan hasil-hasil buangan harian melalui kaedah pengasingan produk buangan kepada dua kategori iaitu bahan-bahan yang boleh dikitarsemula seperti tin, botol, kertas dan yang tidak boleh dikitarsemula seperti sisa makanan dan lain-lain.

Hasil daripada konsep atau pemahaman sedemikian, pihak yang berwajib seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula menyediakan kaedah atau sistem pembuangan dan pungutan yang menetapkan jenis-jenis produk yang perlu diasingkan. Kaedah ini nampaknya boleh dilaksanakan dibawah pengurusan setempat sepertimana penempatan di kawasan-kawasan rumah pangsa. Walau bagaimanapun, bagi kawasan yang seperti taman-taman perumahan, kampung-kampung baru atau kawasan perumahan lot individu, aktiviti pengkitaran semula ini kurang berhasil.

Disamping itu juga, pihak industri kitarsemula digalak memperkenalkan teknologi moden bagi menjayakan aktiviti pengkitaran semula yang akhirnya memberi impak kepada kos operasi organisasi terbabit. Akibatnya, kos operasi tersebut terpaksa dicerapkan keatas harga bagi produk baru yang akhirnya memberi impak kos barangan kepada masyarakat umum. Untuk mengelak impak yang lebih negatif, maka kerajaan terpaksa memberi subsidi kepada industri-industri terbabit.

Oleh yang demikian, perlu dikaji semula mekanisma yang lebih berkesan dalam program atau aktiviti kitarsemula , konsep kitarsemula perlu diterjemahkan dalam bentuk perkongsian tanggungjawab bersama antara individu, masyarakat, badan-badan bukan kerajaan, persatuan-persatuan komuniti dan industri dalam bentuk komersil yang menguntungkan semua pihak.

Pengkitaran semula hendaklah diperluaskan konsepnya dengan menerapkan budaya "perkongsian barangan secara berterusan" yang boleh disangkutkan dengan keuntungan bersama dan secara tidak langsung meningkatkan pengurusan ekonomi seseorang individu atau keluarga serta mengelak berlaku peningkatan kadar inflasi. Ini boleh dilakukan dengan melihat model-model yang pernah dilaksanakan di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun.

Dalam konteks ini, "Garage Sale" adalah merupakan satu bentuk aktiviti pengkitaran semula yang mempunyai nilai-nilai komersil dimana barangan perumahan yang masih elok dijual dengan harga yang amat murah kepada individu yang berminat. Sungguhpun ianya amat popular terutamanya ketika sesebuah keluarga terlibat dalam proses perpindahan, model ini boleh menggalakkan penggunaan barangan secara berterusan. Contohnya, aktiviti seperti ini dilihat amat berfaedah terutamanya di kawasan penempatan institusi-institusi pendidikan di mana pelajar-pelajar akan mendapat manfaat daripadanya.

Di Jepun, model yang hampir sama telah diterimapakai yang dikenali sebagai "Flea Market" tetapi ianya telah dikawal dalam bentuk pengawasan yang lebih teratur terutamanya yang melibatkan pihak berkuasa tempatan tertentu dengan badan-badan bukan kerajaan atau persatuan-persatuan tertentu. Ianya diusahakan mengikut tarikh-tarikh yang telah ditetapkan dan dilaksana secara bersepadu setiap tahun. Apa yang menarik, barangan yang dijual semula itu tertakluk kepada suasana iklim serta kesesuaian budaya setempat. Kawasan-kawasan yang diperuntukkan bagi aktiviti ini ialah seperti di tempat-tempat letak kereta di luar kompleks membeli-belah, tanah lapang berhampiran dewan-dewan bandaraya dan dewan-dewan serbaguna serta di taman-taman perumahan.

"Garage sales" ini perlu diurus oleh sekumpulan pengurus telah dilantik atau wakil dari organisasi terbabit yang mendapat kelulusan pihak-pihak berkuasa tempatan bagi memantau aktiviti-aktiviti penjualan serta memastikan barangan yang dijual adalah kepunyaan individu sebenar bukan daripada kategori peniaga-peniaga biasa yang menjual produk mereka pada harga pasaran. Tempoh berniaga ini akan bermula tepat pada jam 10.00 pagi hingga 3.00 atau 4.00 petang.

Sekiranya model-model tersebut hendak diterimapakai dan diserapkan dalam budaya pengkitaran semula di kalangan masyarakat di Malaysia. Pelaksanaannya hendaklah dilakukan secara teratur samada di:
(a) peringkat daerah;
(b) peringkat bandar; dan
(c) peringkat bandaraya.

Individu atau organisasi-organisasi khusus, golongan kurang upaya dan minoriti serta persatuan penduduk boleh melibatkan diri dalam aktiviti ini tetapi mereka dikehendaki membuat permohonan melalui pihakberkuasa-pihakberkuasa tempatan untuk diselaraskan secara bersepadu, termasuk menyediakan tapak jualan seperti tempat letak kereta berdekatan pasar-pasar, kawasan lapang di taman perumahan, balairaya-balairaya atau kawasan lapang di komplek membeli-belah dan juga taman-taman rekreasi. Pihak PBT terbabit perlu memberi sokongan ke arah ini dalam mengenakan yuran yang amat rendah atau tiada yuran dikenakan langsung untuk menggalakkan penyertaan pihak-pihak berkenaan. Aktiviti ini sepatutnya tidak bertindih dengan aktiviti pasar tani, pasar malam dan sebagainya dimana mereka yang terlibat dalam aktiviti tersebut adalah peniaga.

Cadangan diatas perlu diberi perhatian dan pertimbangan. Ini berdasarkan aktiviti kitarsemula yang telah berjaya dilaksanakan di negara maju tetapi di Malaysia, ia perlu dikemaskini berasaskan selera tempatan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan Saya berpendapat tanpa program seumpama ini, seseorang individu itu amat mudah untuk membuang barangan mereka sewenang-wenangnya walaupun barangan tersebut masih dalam keadaan yang boleh digunapakai.

Kembali
Azman Yusuf